suria

Tunku Azizah dimasyhurkan Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar (kanan) merafak sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah selepas dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang pada Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Selasa. -fotoBERNAMA

TENGKU Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar pada Selasa dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang yang baharu, selepas kali terakhir gelaran itu disandang 31 tahun lepas.

Pemasyhuran Tunku Azizah disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang yang berlangsung penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Pemasyhuran itu meletakkan baginda sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden.

Istiadat pemasyhuran bermula apabila Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah membacakan Surat Pengisytiharan Pelantikan Tunku Azizah sebagai Tengku Ampuan Pahang oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia berbunyi: "Beta sultan dan pemerintah negeri atas kuasa yang diberikan kepada Beta di bawah Fasa 1, Perkara 12 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang Bahagian Pertama dengan ini melantik dan memasyhurkan permaisuri Beta iaitu Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang berkuat kuasa pada 22 Januari 2019 bersamaan 16 Jamadil Awal 1440 Hijrah."

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Hassanal dimasyhur Tengku Mahkota, Pemangku Raja Pahang

Surat Pengisytiharan Pelantikan itu kemudian dipersembahkan kepada Sultan Abdullah di atas singgahsana Diraja sebelum Tunku Azizah berangkat bangun dari kerusi tempat bersemayam di kerusi diraja lalu mengadap merafak sembah untuk menerima Surat Pengisytiharan Pelantikan berkenaan.

Tunku Azizah dilahirkan di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960, merupakan anakanda keempat kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche' Besar Hajah Kalsom Abdullah.

Tunku Azizah berkahwin dengan Sultan Abdullah yang pada ketika itu Tengku Mahkota Pahang pada 6 Mac 1986 dan mempunyai empat putera dan lima puteri.

Gelaran Tengku Ampuan Pahang khas untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Sebelum baginda, Tengku Ampuan Pahang yang pertama ialah Tengku Ampuan Fatimah Tun Muhammad yang merupakan permaisuri Sultan Pahang I, Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah diikuti Tengku Ampuan Besar Meriam binti Sultan Abu Bakar Johor (permaisuri Sultan Pahang II, Sultan Mahmud).

Tengku Ampuan Pahang seterusnya ialah Tengku Ampuan Besar Fatimah Sultan Alang Iskandar Shah (permaisuri Sultan Pahang IV, Sultan Abu Bakar Ri'a­yatuddin Al-Mu'adzam Shah) dan Tengku Ampuan Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad (permaisuri Sultan Pahang V, Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah).

Permaisuri Sultan Pahang III, Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah tidak dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang kerana bukan berdarah raja.

Gelaran Sultanah Kalsom (permaisuri Sultan Ahmad Shah) dicipta hanya untuk baginda dan tiada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
-Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain