suria

Tengku Hassanal dimasyhur Tengku Mahkota, Pemangku Raja Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. Foto Bernama

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hari ini dimasyhur sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang.

Istiadat pelantikan dan pemasyhuran itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Kuantan di hadapan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang yang baru dimasyhurkan, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah dimasyhurkan Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden

Surat Pengisytiharan Pelantikan sebagai Tengku Mahkota Pahang dibacakan oleh Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Beta Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Sultan dan Raja Pemerintah Pahang Darul Makmur dan segala jajahan takhluk, atas kuasa diberikan ke atas beta di bawah Fasal 1 Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang setelah berunding dengan Jumaah Pangkuan yang bersidang pada 22 Jan 2019 bersamaan 16 Jamadilawal 1440 dengan ini melantik dan memasyhurkan paduka anakanda beta iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Ke bawah Duli Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang berkuat kuasa 22 Jan 2019 bersamaan 16 Jamadilawal 1440 Hijrah,” isytihar Tengku Abdul Rahman.

Tengku Hassanal kemudian melafazkan ikrar taat setia dan menandatangani Surat Persembahan Ikrar Taat Setia disaksikan Tengku Muda Pahang dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Bismillahirrahmanirrahim, Daulat Tuanku, bahawa adalah patik Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah dikurniakan gelaran Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, iaitu suatu pangkat bergelar dan waris ganti bagi negeri Pahang Darul Makmur, mengakulah patik menjujung kurnia gelaran itu, serta taat setia lah patik kepada Ke Bawah Duli, bagi menyaksikan taat dan setia yang di atas ini patik menurunkan tandatangan patik serta bersumpah dengan lafaz Wallahi Wabillahi Watallahi sekiranya patik berniat celaka atau derhaka, maka kemurkaan Allah akan menimpa diri patik,” titah baginda.

Tengku Hassanal kemudiannnya menandatangani Surat Ikrar Taat Setia diikuti tandatangan saksi oleh Tengku Muda Pahang dan Menteri Besar Pahang.

Baginda kemudiannya menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli.

Sejurus itu, Tengku Muda Pahang sekali lagi merafak sembah untuk membacakan Surat Pengisytiharan Pelantikan Tengku Hassanal sebagai Pemangku Raja Pahang berkuat kuasa 31 Januari ini.

Sultan Abdullah kemudian berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK) kepada putera sulung baginda.

Pelantikan Tengku Hassanal sebagai Pemangku Raja Pahang bagi menggantikan ayahanda baginda yang bakal melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Khamis.

Tengku Hassanal yang diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan kemudiannya menerima Surat Pengisytiharan Pelantikan sebagai Pemangku Raja Pahang.  Istiadat itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Istiadat pemasyhuran pada Selasa mencipta sejarah dalam Kesultanan Pahang moden apabila Tengku Hassanal melalui proses serentak pemasyhuran bagi kedua-dua jawatan utama kerabat Diraja Pahang. - Bernama

Artikel Lain