suria

Suspek tawan tebusan kanak-kanak hanya sebut 'Rashid'

KOTA KINABALU: Lelaki yang menjadikan seorang budak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di pangsapuri Telipok Ria pada Ahad, hanya berkata 'Rashid' kepada pihak polis yang berunding dengannya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, sepanjang tebusan selama lima jam itu, suspek yang masih belum dikenal pasti hanya memberitahu satu perkataan, iaitu 'Rashid'.

"Kami mahu tahu siapa dia dan bagaimana dia dikaitkan dengan kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, polis telah bercakap dengan keluarga mangsa, sambil menambah mereka tidak mengenali suspek.

"Jiran-jiran juga tidak tahu mengetahui identiti suspek," kata Omar pada sidang media di sini, Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tebusan: Identiti suspek belum dikenal pasti, bedah siasat dijalankan

Beliau menambah, kanak-kanak itu dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dekat sini, dan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, mereka menemui sebuah telefon bimbit daripada suspek, dan membuat semakan butiran bagi mengenal pasti identitinya.

Menurut Omar, sampel darah diambil daripada suspek bagi menentukan sama ada dia di bawah pengaruh dadah semasa kejadian berlaku.

"Cap jarinya telah diambil dan sedang diproses untuk diperiksa di dalam pangkalan data kita, termasuk di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," kata Omar.

Beliau berkata, mereka percaya suspek adalah warga asing kerana hanya bercakap dalam bahasa Suluk semasa insiden.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung identiti suspek agar tampil membantu siasatan polis.

Tambah Omar, lebih banyak operasi dan rondaan dilakukan di kawasan perumahan itu berikutan kepadatan penduduk yang tinggi dan mengelakkan daripada insiden berulang.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bahawa kawasan tersebut sebagai lokasi hitam sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.

"Tetapi kita akan meningkatkan pemantauan polis di sini," katanya. - The Star

Rashid, Omar Mammah, tebusan

Artikel Sebelum

Artikel Lain