"KJ ajar guna filter, Izzah bagi tips sekolah anak, saya pula cara nak gemuk" - Rafizi - Semasa | mStar

"KJ ajar guna filter, Izzah bagi tips sekolah anak, saya pula cara nak gemuk" - Rafizi

Mereka dilaporkan bertemu di Alexis Bistro yang terletak di Bangsar Shopping Centere (BSC) pada Selasa.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli menegaskan pertemuannya dengan Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin semasa sesi makan tengah hari pada Selasa tidak menyentuh soal lompat parti.

"(Pertemuan) Langsung tak bincang lompat ka, buat parti ka.

"KJ ajar saya macam mana nak pakai filter Insta, Izzah bagi tips sekolah anak. Saya bagi tips macam mana nak gemuk," tulisnya di Twitter.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai sedang menggerakkan satu wadah politik baharu berteraskan orang muda.

Sejam selepas memuat naik posting itu, Rafizi terkejut dengan respons netizen terhadap kenyataan tersebut.

"Banyak pula orang retweet (RT). Masa aku tweet serius, tak ada pula nak RT," katanya yang kali kedua dilihat bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Rembau itu.

Posting tersebut menjadi tular dan diulang kicau lebih 2,000 oleh pelayar Twitter dan mendapat 2,113 tanda suka.

Terdahulu, KJ berkongsi sekeping gambar sedang makan tengah hari bersama Nurul Izzah dan Rafizi menerusi InstaStory miliknya.

Mereka dilihat berada di Alexis Bistro di Bangsar Shopping Centere (BSC) selepas keputusan Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden PKR.

"Itu bagaimana 'filter' berfungsi @rafiziramli," tulis Khairy yang menarik perhatian netizen.

Kapsyen itu dipercayai merujuk kepada gambar terdahulu yang dimuat naik Rafizi dalam Twitter miliknya pada 10 Disember lalu.

Rafizi Ramli , Nurul Izzah , KJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain