suria

Vigneswaran nafi langgar protokol keselamatan KLIA

S. A. Vigneswaran.

SEPANG: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran menafikan beliau melanggar protokol keselamatan semasa menggunakan laluan VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ia merupakan publisiti murahan oleh Loke. Saya cuba hubungi beliau untuk menjelaskan perkara itu.

"Jika saya melakukan jenayah, mengapa saya tidak dihalang atau ditahan," katanya kepada The Star.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meminta Vigneswaran memohon maaf kerana melanggar protokol keselamatan dan melanggar kod pakaian semasa menggunakan laluan VIP di KLIA.

ARTIKEL BERKAITAN: Vigneswaran diminta mohon maaf, didakwa langgar protokol keselamatan di laluan VIP KLIA

Kejadian berlaku pada 14 November lalu pada pukul 10.14 malam ketika presiden MIC itu diminta berhenti oleh pegawai yang ditempatkan di laluan VIP kerana tidak mematuhi kod pakaian.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, Vigneswaran tidak berhenti dan meneruskan turun ke bawah di bahagian lobi VIP.

Loke berkata, Vigneswaran bukan sahaja tidak mematuhi kod pakaian tetapi beliau juga menceroboh kawasan keselamatan tanpa melalui pemeriksaan keselamatan yang betul.

Vigneswaran berkata, ia merupakan kali pertama anaknya menaiki penerbangan ke United Kingdom.

Jelasnya, beliau memakai sandal kerana mempunyai luka kecil di kaki dan menambah bahawa beliau tidak menggunakan mana-mana bilik VIP dan terus menghantar anak perempuannya ke pintu berlepas.

Vigneswaran juga menafikan bersikap biadab terhadap kakitangan lapangan terbang, dengan mengatakan bahawa beliau hanya meminta supaya menunjukkan pekeliling mengenai VIP tidak dibenarkan memakai sandal.

"Sebenarnya saya hanya mahu melihat pekeliling berkenaan. Pekeliling itu menyatakan bahawa kita harus memakai pakaian yang sesuai.

"Mereka sepatutnya menghalang saya sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan," katanya.

Vigneswaran, yang merupakan presiden MIC memberitahu Loke supaya berhenti bersikap seperti anggota pembangkang dan isu tersebut boleh diselesaikan sekiranya mereka berkomunikasi antara satu sama lain.

S. A. Vigneswaran, KLIA, Anthony Loke

Artikel Lain