suria

Duit jamin RM1 juta Guan Eng diserah untuk program biasiswa penuh

GEORGE TOWN: Wang hasil sumbangan orang ramai berjumlah RM1 juta bagi urusan jaminan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dua tahun lalu, diserah kepada program biasiswa penuh Penang Future Foundation (PFF).

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, wang RM1 juta dengan faedah yang dikumpul membawa kepada jumlah  RM1.038 juta itu, akan diguna untuk memberi biasiswa kepada pelajar kelahiran negeri itu.       

"Jutaan terima kasih diucap kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi sumbangan," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh yang merupakan penjamin bagi Lim dalam kes mahkamah itu.

PFF adalah insentif kerajaan negeri yang dilancar pada 2015 bertujuan membantu pelajar-pelajar dari Pulau Pinang yang cemerlang mengikuti pengajian tinggi antaranya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dan sehingga kini 300 anak jati negeri ini telah menerima bantuan biasiswa PFF.

Pada 30 Jun 2016, Lim dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan dua tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran bersama ahli perniagaan wanita Phang Li Koon dan mahkamah pada masa itu  membenarkan Lim diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan Phang daripada pertuduhan itu. - Bernama

PFF, Guan Eng

Artikel Lain