suria

Bajet 2019: Pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan untuk pengguna MRT, LRT

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pas bulanan tersebut meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan kemudahan tersebut.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata kerajaan akan membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuhraya dalam bandar bermula tahun depan.

Jelas beliau, pembekuan itu melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM700 juta.

Beliau berkata, tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor turut dimansuhkan mulai 1 Januari 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.

Selain itu, beliau berkata pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan bagi bas RapidKL sahaja turut disediakan.

Guan Eng berkata kempen berkenaan akan diperluaskan bagi meliputi syarikat bas lain secara berperingkat.

"Skim ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak beberapa ratus ringgit sebulan," katanya.

Guan Eng berkata Prasarana Bhd, anak syarikat pengangkutan awam milik penuh kerajaan, akan memperbaiki jaringan perkhidmatan basnya dengan menggunakan sepenuhnya aset terkini merangkumi 1,131 bas RapidKL, 408 RapidPenang, 69 RapidKuantan dan 300 bas perantara MRT.

"Prasarana juga akan melaksanakan model usahasama dengan syarikat bas swasta lain untuk menguruskan laluan dan perkhidmatan serta mengawal kos bagi memaksimumkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan," katanya.

Bagi menambah baik liputan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperuntukkan RM20 juta bagi menyediakan perkhidmatan tambahan bas GoKL secara percuma selain daripada empat laluan sedia ada, katanya.

RapidKL, rel

Artikel Berikut

Artikel Lain