MB Perak kini 'Datuk Seri' - Semasa | mStar

MB Perak kini 'Datuk Seri'

IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu merupakan antara dua penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-62, Rabu.

Selain Ahmad Faizal, yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Perak, seorang lagi penerima darjah SPMP adalah Pro Canselor Universiti Malaya, Toh Puan Datuk Seri Dr. Aishah Ong.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata istiadat pengurniaan darjah, bintang dan pingat kebesaran kepada 285 penerima akan disempurnakan Sultan Nazrin dalam dua sesi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,Ahad ini dan 10 November ini.

Baginda juga menganugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 14 individu termasuk Naib Canselor Unversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Luar, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.

Sultan Nazrin turut menganugerahkan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk kepada dua penerima iaitu Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuteraan Pertahanan, Brigedier Jeneral Ir Chapiti Redzwan serta Ketua Bahagian Pentadbiran dan Penyelidikan, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Sum Chang Keong.

Selain itu, seramai enam penerima menerima Darjah Paduka Cura Simanja Kini (PCM), 23 bagi Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 15 bagi Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dan 65 menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Dalam pada itu, 72 individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 82 bagi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Menurut Mohd Zahidi, kesemua penerima merupakan individu yang telah berjasa kepada negara dan negeri termasuk dalam bidang profesional serta sukan.

Katanya, pada sambutan kali ini, buat pertama kalinya sejak Sultan Nazrin ditabal sebagai Sultan Perak pada 2015, pertunjukan bunga api selama 10 minit akan diadakan di perkarangan Istana Iskandariah pada Sabtu ini bermula pukul 7.50 malam.

Selain itu, rakyat juga diseru untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun Keputeraan baginda dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman.

Untuk menambahkan suasana meriah dan keceriaan, bangunan pejabat dan perniagaan dianjurkan memasang lampu pada malam Sabtu dan Ahad ini hingga jam 12 tengah malam, katanya. - BERNAMA

Ahmad Faizal Azumu , Datuk Seri

Artikel Sebelum

Sultan Nazrin pangku tugas Agong