Batal operasi khalwat: Kenyataan saya tak salah - Mujahid - Semasa | mStar

Batal operasi khalwat: Kenyataan saya tak salah - Mujahid

SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan beliau akan menjelaskan kenyataannya berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat, Isnin ini.

Beliau yang enggan memberikan kenyataan lanjut berhubung laporan tersebut berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan meja bulat berhubung isu berkenaan.

“Tiada apa yang salah dalam kenyataan saya itu. Tunggu Isnin ini saya jelaskan. Buat masa ini saya tidak mahu komen,” katanya kepada Sinar Harian, Ahad.

Dalam laporan eksklusif The Star, akhbar itu melaporkan tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Mujahid menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Dalam temubual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Sebelum ini, Mujahid berdepan dengan kontroversi dengan kenyataannya berkaitan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selepas pertemuan dengan aktivis yang juga seorang transgender, Nisha Ayub.

Beliau kemudiannya mengakui terkhilaf dan menarik semula apa yang diperkatakannya dalam sidang media itu.

Beliau turut memohon maaf terhadap pihak yang berasa terancam dengan kenyataannya itu.
Mujahid , khalwat

Artikel Berkaitan

Artikel Lain