Dituduh tayang kekayaan... ini jawapan pemimpin muda Bersatu - Semasa | mStar

Dituduh tayang kekayaan... ini jawapan pemimpin muda Bersatu

PETALING JAYA: Barangkali bukan satu idea yang bagus untuk seseorang yang berjawatan dalam parti politik menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimiliki secara terbuka, khususnya di media sosial.

Begitulah yang berlaku ke atas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor Bahru, Ismail Ibrahim apabila foto-foto miliknya ditularkan di laman Twitter.

“Wow jadi ketua Armada bahagian kena tayang duit tebal ke,” soal seorang individu di Twitter sehingga menerima lebih 500 ulang kicau (Retweet).

Mengulas mengenai hal itu, Ismail yang mesra disapa sebagai Zack tampil mempertahankan dirinya.


Sewaktu dihubungi mStar Online pada Jumaat, dia menjelaskan segala kemewahan yang dipaparkan adalah miliknya dan langsung tiada kaitan dengan parti politik yang diwakilinya.

“Ramai bagi tahu saya mengenai penularan gambar itu, ia merupakan gambar-gambar lama sebenarnya.

“Gambar tayang duit atas sofa misalnya merupakan sebahagian wang untuk sumbangan kepada sekolah, silap saya mungkin tak post gambar masa bagi sumbangan.

“Tapi, itu adalah duit saya sendiri, saya sudah lama ada perniagaan dan ia tiada kaitan dengan PPBM,” ujar pemuda berusia 27 tahun itu.

Menerusi beberapa siri Tweet, individu tersebut yang menggunakan nama @The_UglyOrgan memuat naik paparan skrin dari Instagram Ismail yang memaparkan sejumlah wang di tangannya.


Seorang lagi pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama @notorioustapir turut memuat naik foto Ismail yang berada di sebuah kasino di Las Vegas.

Ia ternyata mengundang persepsi negatif netizen yang mempersoalkan kemewahan pemimpin muda itu.

“Kami tak mahu lihat perilaku seperti ini dalam kerajaan baharu, Syed Saddiq boleh cari pemimpin yang merendah diri tak?” tulis @FadzZaphir.

“Nak daftar Armada juga lah. Mana tahu gambar aku upload nanti dua kali ganda lagi tebal dari dia,” tulis seorang lagi netizen.

Dalam pada itu, Ismail berkata dia akan lebih selektif dan berhati-hati dalam berkongsi sebarang foto di media sosial selepas ini.

Tambahnya, dia tidak dapat menutup mulut orang untuk komen perkara itu, namun berharap pihak di luar sana tidak cepat menghukum tanpa sebarang usul periksa.

“Yang kata mula tayang duit selepas Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, tak benar sebab foto itu dirakam pada awal tahun ini.

“Saya ke Las Vegas pula kerana ada training untuk perniagaan, gambar training pun ada,” jelasnya lagi.

Ismail yang menguruskan perniagaan dalam pembekalan ubat-ubatan mula dilantik sebagai ketua Armada bahagian Johor Bahru sekitar dua tahun lalu.

Ujarnya, dia menganggap usaha sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan dirinya sebagai penguat semangat untuk berbakti kepada parti dan rakyat.

Ketua Armada , tayang duit

Artikel Lain