suria

“Sudah kempen sebulan cukuplah, kini tumpu kepada Port Dickson” - Anwar

Anwar Ibrahim.

MELAKA: Pemilihan PKR tidak perlu ditangguh semata-mata bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kempen untuk pemilihan PKR sudah berlangsung kira-kira sebulan, justeru anggota serta jentera parti kini boleh meletakkan fokus kepada PRK Port Dickson yang akan diadakan nanti.

"Cadangan (tangguh pemilihan) itu baik, semua kita patut fokus kepada dua perkara ini tetapi kamu hendak bertanding, bertandinglah. Kamu, antara parti dan kawasan pilihan raya yang mana lebih penting? 

"Kalau dua-dua penting, kamu sudah kempen sebulan cukuplah, kini tumpu kepada (PRK) Port Dickson. Maknanya boleh (adakan pemilihan) tetapi ini (pemilihan) pada peringkat akhir, sudahlah," katanya ketika berucap pada majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini, Khamis malam.

Turut hadir Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Timbalan Menteri Industri Utama dan kira-kira 1,000 anggota parti itu.

Pada Khamis, Shamsul Iskandar dilaporkan menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menangguhkan sementara proses pemilihan parti yang dijadual 22 September ini, sehingga PRK Parlimen Port Dickson selesai.

Pada Rabu, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR, bertanding di kerusi parlimen berkenaan.  

Sementara itu, Anwar berkata, anggota PKR harus memilih pemimpin yang dapat berkhidmat dengan sebaiknya untuk parti dan juga rakyat, justeru pemimpin yang sombong dan korup perlu ditolak sekeras-kerasnya pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata, salah guna kuasa serta wang terutama ketika pemilihan PKR tidak akan dimaafkan sama sekali, dan beliau tegas mengingatkan semua pemimpin serta anggota parti mengenai perkara tersebut.

"Jangan ada kuasa sedikit nak ugut orang, jangan ada wang nak beli undi, ingat ini Umno ke? Ini parti perjuangan demi rakyat, daripada dukungan rakyat, jadi bila kita ada kuasa kena ingat," katanya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, keadaan kesihatannya baik untuk berkhidmat sebagai seorang anggota Parlimen dan Perdana Menteri, sekiranya itu yang dikehendaki rakyat.

Beliau berkata, bahunya yang mengalami kecederaan sebelum ini masih memerlukan rawatan fisioterapi seminggu sekali, namun ia tidak akan menghalangnya berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

"Alhamdulillah dari segi kesihatan baik...bahu ini walaupun baik perlu ambil sedikit masa (untuk pulih), fisioterapi saya juga boleh buat di Port Dickson," katanya secara berseloroh. - Bernama

Anwar Ibrahim, Port Dickson

Artikel Lain