16 penumpang lalui detik cemas bas terbalik - Semasa | mStar

16 penumpang lalui detik cemas bas terbalik

BATU PAHAT: Enam belas penumpang sebuah bas ekspres berhadapan detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki terbalik dalam satu kemalangan di KM89.1, Lebuh Raya Plus arah utara, dekat Yong Peng, Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt KS Mender Singh berkata kemalangan berkenaan yang berlaku pada jam 1.20 pagi, turut membabitkan sebuah kereta.

Katanya, siasatan awal menunjukkan kemalangan itu  berlaku apabila bas yang dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas, yang kemudiannya terbalik serta menghalang lalu lintas.

“Dalam masa yang sama  sebuah kereta dari arah yang sama cuba mengelak bas berkenaan, namun kereta itu  terbabas lalu melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mender, akibat kemalangan berkenaan, pemandu bas dan empat penumpang dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan manakala penumpang lain hanya cedera ringan dan dirawat di tempat kejadian.

Katanya, semasa kejadian keadaan cuaca adalah baik namun lokasi itu  gelap dan  merupakan jalan lurus yang mempunyai empat lorong dua hala.

“Kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes terbabit masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.- Bernama

Bas ekpres , terbabas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain