suria

Bakal doktor sanggup derma hati kepada bekas guru sekolah rendah

Chen Ze Rong tersenyum selepas pembedahan pemindahan hati berjaya dijalankan.

KUANTAN: Seorang bakal doktor memberikan hidup baharu kepada guru sekolah rendahnya apabila mendermakan sebahagian daripada hatinya demi menyelamatkan nyawa guru wanita terbabit.

Chen Ze Rong, 25, merupakan lepasan jurusan perubatan yang mendermakan 67 peratus daripada hatinya kepada Liang Feng Pin iaitu bekas gurunya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kong Min di Kuantan.

Liang merupakan guru sains bakal doktor itu dan anak tunggal perempuannya, Zheng Zi Jing juga rakan sekelas Chen ketika mereka di Tahun Lima.

Selepas mengetahui Liang mempunyai masalah hati dan memerlukan pembedahan pemindahan dilakukan, Chen menawarkan hatinya tanpa ragu-ragu.

Pembedahan tersebut dijalankan di Singapura dan kedua-dua mereka sedang menjalani rawatan susulan di hospital.

Yayasan Perubatan Nanyang Siang Pau dalam satu posting Facebook mengeluarkan kenyataan, Chen kini menderita penyakit kuning, tapi menambah keadaannya akan bertambah baik apabila hatinya semakin pulih.

Liang Feng Pin dan anak perempuan tunggalnya, Zheng Zi Jing.

"Chen bernafas dengan sendiri dan boleh duduk tapi masih dalam keadaan sakit.

"Dia mungkin boleh keluar hospital dalam masa seminggu.

"Ujian darah menunjukkan hati Chen berfungsi dalam badan Liang dan tiada tanda penolakan."

Liang kini menjalani rawatan dialisis sehingga keadaannya stabil.

"Enam bulan pertama adalah kritikal dan jika keadaan Liang kekal stabil, dia boleh keluar dalam masa sebulan," menurut catatan Facebook itu.

Zheng berkata, ibunya masih bergantung kepada mesin sokongan hidup dan alat bantuan pernafasan, tetapi para doktor berkata bahawa keadaannya baik.

Pada malam selepas pembedahan dijalankan, Zheng menulis di Facebook untuk berterima kasih kepada rakan baiknya itu.

"Sokongan Chen dan keluarganya membuatkan saya sedar bahawa kasih sayang bukan terhad kepada keluarga sendiri.

"Kasih sayang ada di mana-mana jika ia benar-benar ikhlas.

"Saya tak sangka dia sanggup lakukan sejauh ini dan menjadi individu yang menyelamatkan nyawa ibu saya," katanya. – Sin Chew Daily/Asia News Network/The Star

derma hati

Artikel Lain