suria

SPRM terkejut mahkamah bebaskan Guan Eng

Guang Eng dan Phang dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo.

"SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin yang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

"SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM," demikian menurut kenyataan itu.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Lim, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah," katanya.

Sebelum beliau menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan pada Mac lepas dan kini dalam bulan September, pihak pendakwaan memohon supaya kes itu DNAA.

SPRM, Lim Guan Eng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain