suria

Polis kesan tempat tinggal mangsa dijumpai dikerat

Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat tanpa identiti dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemui di tebing Sungai Gombak. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mengesan alamat yang dipercayai tempat tinggal wanita yang dikerat enam dan ditemukan dalam dua beg pakaian di tepi jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak di sini, pada 5 Julai lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, alamat mangsa dikesan pada Rabu dan butiran diri mangsa telah diperoleh namun siasatan masih dijalankan bagi memperoleh maklumat berkaitan bagi pengesahan identiti mangsa.

"Beberapa barang kes telah diambil dari tempat kejadian yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Komisoner (ASP) Faizal bin Abdullah di talian 012-4834439 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, Deputi Superintendan (DSP) M Gunalan di talian 019-3114418.

Kira-kira 11.30 pagi minggu lepas, mangsa yang disyaki dibunuh, berusia dalam lingkungan 30 ke 40 tahun itu dipercayai beragama Islam dan bukan warganegara Malaysia, ditemui seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran.

Laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian yang mencurigakan.

Susulan laporan itu, polis menemukan anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada dua beg pakaian pada jarak berasingan kira-kira 20.6 meter. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KJ kritik Umno ‘kaw kaw’

Artikel Lain