suria

Mesej amaran jangan keluar rumah tutup paip air tular

PETALING JAYA: Mesej yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak keluar rumah untuk menutup paip air selepas tengah malam kerana bimbang dirompak oleh penjenayah tersebar di media sosial.

Mesej yang tular itu mendakwa beberapa kes dikesan di Petaling Jaya dan Selangor.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa berkata, walaupun polis tidak mendapat maklumat mengenai kes berkenaan, tetapi ia juga baik untuk orang ramaimengambil langkah berjaga-jaga.

"Kita tidak boleh menolak mesej ini sepenuhnya, maka saya menggesa orang ramai supaya berhati-hati.

"Kita mesti berwaspada kerana jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tajudin berkata, keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan polis tetapi pada masa sama, orang ramai juga perlu memainkan peranan mereka untuk tidak mewujudkan peluang penjenayah bertindak.

"Hubungi polis secepat mungkin sekiranya anda melihat mana-mana individu yang dicurigai di kawasan kejiranan anda atau mendengar sebarang jenayah di kawasan anda.

"Terdapat pelbagai cara untuk menghubungi polis, termasuk menggunakan telefon dan aplikas telefon pintar," tambahnya.

Salah satu cara adalah menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk orang ramai membuat laporan mengenai jenayah di sekeliling mereka.

Tajudin berkata, aplikasi VSP boleh dimuat turun secara percuma di laman web Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan (Gamma).

Artikel Lain