suria

Tidak terburu-buru lantik Anwar sebagai PM - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui pelantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tidak akan dilakukan secara terburu-buru.

"Sudah tentu ia bukan sesuatu yang telah dirancang," katanya ketika ditemui di luar Pusat Rehabilitasi Cheras dekat sini, Selasa.

Presiden PKR itu berkata, Pakatan Harapan mahukan perubahan kerajaan yang lancar di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami mahu pentadbiran sekarang untuk membawa perubahan dan reformasi yang sepatutnya," tambahnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Daim Zainuddin ketika ditemubual The Straits Times Singapore apabila berkata ia sesuatu yang tidak masuk akal jika Anwar dilantik sebagai perdana menteri sebaik menjadi Ahli Parlimen.

Daim yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan  berkata, bukan masanya untuk menukar kepimpinan negara.

Mengenai pembebasan Anwar, Dr Wan Azizah berkata, tidak diketahui waktu yang tepat untuk suaminya dibebaskan pada Rabu.

"Lembaga Pengampunan akan hanya bersidang pada 11 pagi dan kita tidak tahu berapa lama tempoh mesyuarat itu berlangsung  sebelum Anwar dibebaskan," katanya.

Katanya, ketika ini, Anwar semakin pulih selepas menjalani rawatan dan fisioterapi di pusat berkenaan.

"InsyaAllah kita dapat melihat Anwar hadir pada perhimpunan yang dianjurkan malam esok," katanya.




Anwar, Wan Azizah, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain