suria

Tun M layak dinobat 'pelakon terbaik' - Najib

Najib beramah mesra dengan bekas Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Rahimah Mohd Kawi ketika menyampaikan Sijil Penghargaan pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Jerantut dan Pelancaran Jentera BN Jerantut pada Rabu. Foto Bernama

JERANTUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "pelakon nombor satu negara" dan layak mendapat "best actor academy award" kerana sifat kepura-puraannya.

Najib berkata, ini dibuktikan apabila Dr Mahathir suatu ketika dahulu lantang mengkritik seteruk-teruknya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengaitkannya dengan salah laku seksual, namun kini berbaik-baik pula dengan Anwar demi matlamat peribadinya.

“… baru-baru ini dengan selamba dia pergi ke mahkamah (semasa perbicaraan) nak jumpa dengan Anwar Ibrahim. Saya tengok pun geleng kepala dengan telatahnya (Dr Mahathir). Orang macam ini kita tidak boleh pakai.

“Kita kena ada pendirian, dalam politik kalah menang tidak mengapa asalkan ada maruah diri… dia boleh berbuat demikian tetapi saya tidak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Jerantut dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Jerantut di sini, Rabu.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Bahagian Umno, Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Timbalan Ketua Bahagian Umno Jerantut, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Lebih 2,000 anggota jentera Umno dari sekitar kawasan Parlimen Jerantut dan kakitangan jabatan kesihatan daerah, turut hadir pada majlis berkenaan.

Najib berkata, Dr Mahathir selama ini hanya menjadi ''kuda tunggangan DAP" untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini bagi merealisasikan hasrat politik mereka menjatuhkan kerajaan.

“DAP nak tunjuk mereka baik kepada orang Melayu, itu tipu sahaja… hakikatnya saya nak tanya DAP ini suka kepada orang Islam atau tidak, betul ke mereka nak bantu memajukan kawasan luar bandar seperti mana BN yang ditunjangi Umno lakukan.

“Ini berbeza dengan MCA dan MIC serta Gerakan, yang memang ikhlas membantu rakyat, sebab itu negara kita maju, aman dan menjadi negara hebat sehingga kita melihat banyak perubahan besar yang jadi kepada negara kita,” katanya. - Bernama

Dr Mahathir Mohamad

Artikel Lain