suria

Penjara empat tahun kerana cekik, tumbuk, tendang isteri

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana mencekik leher, menumbuk, menendang dan cuba menikam perut isterinya dengan pisau sehingga cedera parah, hujung tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu ke atas K.Vejeyen, 36, seorang penjaga stor selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan semula kesnya dan mahkamah  memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula Rabu. 

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas D. Jayasutha, 38, seorang operator kilang, dengan cara melukakan hidungnya dengan sebilah pisau iaitu senjata yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian di sebuah rumah di Blok A, Persiaran Surian, Pelangi Damansara, Jalan PJU 6A/3A, Damansara, di sini pada 8.30 malam, 8 Dis 2017. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun. 

Mengikut fakta kes, lelaki itu telah pergi ke rumah isterinya dan memecahkan pagar depan lalu masuk ke rumah dengan membawa sebilah pisau dan berlaku pertengkaran antara pasangan tersebut. 

Tertuduh telah mencekik leher isterinya, menumbuk hidung sehingga retak tulang, menendang dada dan cuba menikam perut mangsa namun mangsa bernasib baik kerana dapat mengelak daripada ditikam. 

Mangsa menjerit dan jeritan itu didengari jiran-jirannya yang kemudian datang menahan tertuduh. 

Ketika kejadian, pasangan itu yang telah berkahwin selama sembilan tahun dan mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan telah tinggal berasingan. 

Vejeyen yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga. 

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon hukuman pemenjaraan yang tinggi mengambil kira tertuduh telah dengan sengaja memecah masuk ke rumah mangsa dan mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa. 

Katanya tertuduh hanya berhenti melakukan perbuatan itu selepas jiran mangsa mendengar jeritan dan menahan tertuduh daripada terus mencederakan. - Bernama

belasah isteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain