suria

Cuti dua hari kalau Pakatan Harapan menang

Dzulkefly Ahmad.

PETALING JAYA: Penetapan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan, mengundang pertikaian ramai berikutan ia jatuh pada Rabu, hari bekerja.

Setakat ini, tiada pengumuman mengenai hari tersebut dijadikan cuti umum melainkan semua sekolah di negara ini diberi cuti peristiwa berikutan 6,941 sekolah akan dijadikan pusat mengundi pada hari tersebut.

Bagaimanapun, seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan membuat pengumuman mengejut susulan pengumuman tarikh PRU14 yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Pakatan Harapan akan mengisytiharkan 10 dan 11 Mei 2018 sebagai cuti umum sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi PRU14.

Beliau yang berkata demikian menerusi akaun Twitter @DrDzul pada petang Selasa menjelaskan bahawa cuti umum itu bertujuan untuk menggalakkan rakyat pulang mengundi pada 9 Mei.

“Kerana keputusan SPR menetapkan 9 Mei Rabu, hari bekerja, maka andainya PH (Pakatan Harapan) menang, maka ‘Kerajaan PH’ akan mengisytiharkan 10 dan 11 Mei 2018 sebagai cuti umum bagi menggalakkan dan meyakinkan rakyat/pengundi untuk pulang mengundi dan seterusnya menyambut kemenangan rakyat,” katanya di laman sosial Twitter.

Dzulkefly ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mengenai cadangan itu, dan ia telah dikemukakan dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan pada Selasa.

“Ya, itu adalah cadangan saya bagi memudahkan rakyat untuk pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi memandangkan ia diadakan pada hari bekerja.

“Saya telah mengemukakan cadangan ini pada mesyuarat majlis presiden pada petang tadi. Cadangan itu masih dalam pertimbangan,” katanya secara ringkas.

Dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat khas SPR pada pagi Selasa, tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 28 April (Sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu).

"Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.45 malam 8 Mei," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada PRU14.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain