suria

Hormat tarikh mengundi ditetapkan SPR

Idris Jusoh.

KANGAR: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  pada 9 Mei, perlu dihormati , kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, SPR sudah pasti mempunyai sebab-sebab tertentu yang munasabah berhubung mengapa agensi itu menetapkan hari bekerja sebagai hari pengundian.

“Kita menghormati keputusan SPR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Kangar di sini, Selasa.

SPR pada Selasa turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

Sejurus pengumuman itu dibuat, rata-rata paparan di media sosial memuat naik rungutan kerana 9 Mei jatuh pada hari bekerja dan akan menyukarkan pengundi yang perlu pulang ke kampung untuk mengundi.

Ditanya adakah semua warga institusi pengajian tinggi akan dibenarkan bercuti pada hari mengundi, Idris berkata, ia terpulang kepada pihak pengurusan setiap institusi untuk menentukannya.   

Dalam pada itu Idris  berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan yang selesa pada PRU14.

"Saya merasa positif dengan sikap pengundi selepas manifesto BN dikemuka, keadaan kerajaan begitu baik sekali dan jangan takut keluar mengundi... anak muda sekarang ramai yang sokong kerajaan," katanya. - Bernama

PRU14, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain