suria

SPRM Tahan Pengarah JPS Perlis, Rampas RM3.8 Juta

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis bersama dua individu, dipercayai terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah berusia 60 tahun itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS negeri kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik sejak 2014 hingga 2017.

Dua lagi yang ditahan adalah pemilik syarikat, masing-masing berusia 50 dan 39 tahun, dipercayai bersubahat dengan pengarah tersebut.

Berdasarkan hasil siasatan, SPRM telah merampas RM3.8 juta termasuk wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah salah seorang pemilik syarikat.

Menurut sumber, ia termasuk menyita empat akaun bank berjumlah RM2.9 juta, dipercayai diperolehi melalui wang rasuah dan salah guna kuasa.  

Sumber memberitahu, pasukan penyiasat mendapati pengarah tersebut juga menggunakan nama sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan untuk melaksanakan projek-projek yang dianugerahkan oleh JPS.

“Dia juga didapati menjalani kehidupan mewah hasil daripada wang rasuah yang diterima daripada kontraktor-kontraktor sejak 2014,” tambah sumber.

Difahamkan, siasatan turut mendapati suspek pengarah itu memindahkan sejumlah wang yang diperoleh dengan menyalahgunakan jawatannya itu ke beberapa akaun miliknya dan saudara-mara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan sambil menambah bahawa siasatan dilakukan selepas SPRM menerima laporan berhubung tindakan pengarah tersebut.

Beliau berkata, siasatan masih di peringkat awal dan pasukan penyiasat kini dalam proses meneliti dokumen-dokumen yang dirampas bagi membantu siasatan.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan di SPRM Kedah dijangka dihadapkan di Mahkamah Alor Setar pada Selasa untuk direman bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain