suria

3.2 Juta Pendeposit SSPN1M Peroleh Dividen 4 Peratus

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) 2017 sebanyak 4 peratus bagi dua produk simpanannya iaitu SSPN1M-i dan SSPN1M-i Plus.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pemberian dividen itu melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM92.56 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih 3.2 juta pendeposit SSPN1M.

"Kadar 4 peratus dividen SSPN1M 2017 ini adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang dibuat bagi deposit yang diterima oleh PTPTN.

"PTPTN masih dapat mengekalkan kadar dividen SSPN1M yang diberikan seperti tahun sebelumnya walaupun 2017 merupakan tahun yang mencabar," katanya.

"Sehingga 2016, PTPTN mengeluarkan sebanyak RM288.6 juta bagi tujuan pengagihan dividen kepada pendeposit," katanya pada Majlis Pengumuman Dividen 2017 Skim SSPN1M di Menara PTPTN, Isnin.

Dalam pada itu, Shamsul berkata SSPN1M mencatatkan jumlah deposit sebanyak RM3.3 bilion dengan 3.2 juta akaun sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 31 Disember 2017.

Prestasi penabungan SSPN1M bagi 2017 juga meningkat sehingga RM727.40 juta melepasi sasaran asal sebanyak RM550 juta dengan 447,039 akaun baharu dibuka oleh pendeposit.

"Ini secara tidak langsung memberi petunjuk masyarakat telah mula membuat persediaan lebih awal untuk pendidikan anak-anak selain mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman untuk pendidikan tinggi," katanya.

Ditanya mengenai sasaran bagi 2018, Shamsul berkata PTPTN menyasarkan kutipan deposit sebanyak RM600 juta dengan penambahan pembukaan kira-kira 350,000 akaun baharu.

Sementara itu, Shamsul berkata kerajaan menerusi Bajet 2018 akan memberikan Insentif Khas Geran Sepadan iaitu deposit percuma bernilai RM500 terhad kepada 500,000 akaun terawal.

"Bermula 1 Jan 2018, mana-mana ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan terkumpul sehingga RM500, sama ada melalui pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun akan menerima deposit tersebut.

"Kita mendapat sambutan menggalakkan mengenai insentif ini di mana sejak Januari lepas sehingga kini, sebanyak 41,900 akaun baharu layak mendapat geran tersebut,” katanya.-- Bernama    

PTPTN, SSPN1M

Artikel Sebelum

Artikel Lain