suria

Kecoh Ahli Majlis Keluar, Media Dihalau Dari Mesyuarat MBPJ

Mohd Azizi mempengerusikan mesyuarat bulanan di ibu pejabat MBPJ.

MESYUARAT penuh bulanan lembaga Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dikejutkan dengan tindakan 10 ahli majlis yang beredar keluar dari bilik mesyuarat selepas gagal mencapai kata sepakat.

Malah suis mikrofon sebahagian ahli majlis ditutup oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain yang mempengerusikan mesyuarat bulanan.

Penstriman langsung mesyuarat dihentikan sejurus selepas nada suara ditinggikan dan pengawal keselamatan dipanggil bagi mengiring keluar beberapa ahli majlis.

Sebaik sahaja beberapa ahli majlis beredar, sekumpulan pemberita turut diarah keluar dari bilik mesyuarat dan memadam semua rakaman daripada telefon bimbit mereka.

Kekecohan berlaku berhubung kelulusan nisbah skala 1:8 bagi pembangunan kepada tapak ikonik restoran A&W di Lorong Sultan.

Pada Isnin, StarMetro melaporkan bahawa kelulusan itu dibuat untuk pembangunan menara pejabat 20 tingkat di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar.

"Saya adalah pengerusi dan saya tidak lagi membenarkan perbincangan di sini. Keputusan yang dibuat di mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) adalah muktamad dan hanya dibangkitkan dalam mesyuarat lembaga untuk memaklumkan ahli majlis," kata Mohd Azizi selepas gagal mengawal bilik itu, yang tercetus ekoran bantahan mengenai perkara berkenaan.

Majoriti ahli majlis hanya mahu Mohd Azizi membawa semula isu berkenaan dalam mesyuarat OSC untuk semakan kerana banyak bantahan tetapi cadangan itu ditolak.

"Adalah menjadi hak kami untuk mempunyai suara dalam perkara ini kerana semua keputusan muktamad perlu dilakukan berdasarkan kelulusan majoriti majlis penuh, yang terdiri daripada Datuk Bandar dan 24 ahli majlis," kata ahli majlis, Sean Oon yang kemudiannya meminta undian dilaksanakan.

Bagaimanapun, usul tersebut turut ditolak Datuk Bandar kerana beliau berpendapat bahawa undi tidak diperlukan untuk perkara berkenaan.

MBPJ

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain