suria

Timbalan Pengetua MRSM, Anak Ditahan SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang timbalan pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Selangor kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian kerja-kerja pembekalan barangan keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan.

Sumber berkata, selain suspek wanita berusia 48 tahun, turut ditahan adalah anaknya dan seorang pemilik syarikat yang masing-masing berusia 24 dan 40 tahun.

Kesemua mereka ditahan antara pukul 4.30 petang dan 7 petang Khamis.

Menurut sumber, timbalan pengetua itu dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan memberikan kerja-kerja pembekalan barangan keperluan pelajar berjumlah kira-kira RM79,000 secara rundingan terus.

Suspek yang juga timbalan pengetua kokurikulum dikesan melakukan perbuatan tersebut tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan antara 2016 dan 2017.

"Dia dikesan memberikan kerja-kerja pembekalan itu kepada anaknya melalui sebuah syarikat milik rakan anaknya.

"Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, sambil menambah bahawa kesemua suspek akan direman pada Jumaat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pasukan penyiasat mula menjalankan siasatan selepas mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung penyalahgunaan kuasa oleh timbalan pengetua tersebut.

“Pasukan penyiasat kini dalam proses merakam percakapan saksi-saksi bagi mendapatkan maklumat yang dipercayai dapat membantu siasatan,” ujar Alias.



MRSM, SPRM

Artikel Sebelum

Yusuf Azmi Tegur Isu Sajat

Artikel Berikut

Artikel Lain