suria

‘Musang King’ Jadi Fenomena Di China

KUALA LUMPUR: Durian Malaysia terutama 'Musang King' mendapat sambutan luar biasa di China apabila lebih 150,000 rakyat negara itu mengunjungi Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, baru-baru ini,  kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sungguhpun eksport 'raja buah'  itu ke China masih lagi kecil, ia menunjukkan potensi yang besar dan boleh dijadikan sumber kekayaan baharu negara.

"Penganjuran festival durian di Nanning baru-baru ini berjaya menarik lebih 150,000 pengunjung yang datang  semata-mata untuk merasa seulas durian kita  dan ia dianggap suatu fenomena.

"Namun, pengeksportan durian ke China masih lagi di peringkat yang rendah. Kalau dilihat paten eksport ke China pada 2015 adalah sekitar RM23  juta berbanding RM18 juta pada tahun lepas, ia adalah kecil berbanding keseluruhan jumlah eksportsekitar RM74 juta," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai status terkini pengeksportan durian ke negara China dan kesan kepada industri serta pekebun durian tempatan.

Penganjuran festival tersebut merupakan inisiatif proaktif serta faktor daya tolak untuk mempercepat kelulusan laluan pasaran ke China.

"Kita sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak berkuasa China bagi pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji berikutan permintaan yang semakin meningkat di negara itu," katanya.

Ahmad Shabery berkata pihaknya yakin  isu tersebut dapat diatasi dan jumlah durian yang dieksport akan meningkat pada masa akan datang.

Beliau berkata pengeksportan durian ke negara luar tidak boleh dilihat sebagai suatu yang negatif kerana ia mampu meningkatkan pendapatan pengusaha selain dapat mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan baharu.- Bernama

Musang King, Durian

Artikel Berikut

Lelaki Tendang Wanita Kembali!

Artikel Lain