suria

Bajet 2018: Bukan Hanya Bayar Gaji

Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Persepsi bahawa perbelanjaan mengurus sebanyak RM234.25 bilion dalam Bajet 2018 hanya untuk pembayaran gaji atau emolumen perlu diperbetulkan kerana peruntukan untuk komponen itu termasuk pencen dan gratuiti hanya membabitkan sekitar 44 peratus daripada jumlah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata selain daripada gaji dan emolumen, terdapat komponen lain yang diletakkan di bawah perbelanjaan mengurus yang berupaya menjadi pemangkin ekonomi dan pembangunan negara.

"Komponen subsidi dan bantuan sosial turut diletakkan di bawah perbelanjaan mengurus yang mewakili 11 peratus daripada jumlah perbelanjaan itu dan komponen ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang diperlukan untuk pengurusan negara tetapi kita beri atas dasar untuk membantu rakyat.

"Selain itu, bayaran hutang turut diletakkan di bawah perbelanjaan mengurus dan ada hutang-hutang ini kita buat untuk perbelanjaan pembangunan seperti membuat kemudahan prasarana yang boleh memangkin ekonomi di masa akan datang tetapi pembayaran hutang itu diletakkan di bawah belanja mengurus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata komponen lain yang turut diletakkan di bawah perbelanjaan mengurus ialah pemberian kepada kerajaan negeri sama ada berbentuk tunai atau geran yang merupakan sebahagian daripada tuntutan dalam Perlembagaan negara dan beliau percaya peruntukan itu akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri.

Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk pembangkang memperbetulkan persepsi bahawa kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang sangat tinggi untuk pembayaran gaji dan menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak mampu mengekang perbelanjaan mengurus negara.

Beliau berkata, walaupun perbelanjaan pembangunan mewakili peratusan yang kecil berbanding keseluruhan peruntukan dalam Bajet 2018, namun dari segi nilai mutlak ia sebenarnya meningkat berbanding bajet sebelum ini di mana kerajaan memperuntukkan RM39.5 bilion untuk perbelanjaan itu pada 2014, diikuti RM40.8 bilion pada 2015, RM42 bilion (2016) dan RM46 bilion (2017).

Pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bajet 2018 yang memperuntukkan sejumlah RM280.25 bilion dengan sebahagian besar daripada jumlah itu iaitu RM234.25 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya iaitu RM46 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.- Bernama

Bajet 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain