suria

Penyokong Kedah Maut Di Tempat Duduk Pemandu Bas

SHAH ALAM: Seorang pemandu bas yang membawa penyokong Kedah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di sini malam tadi ditemui mati di dalam basnya dipercayai akibat sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, M. Batumalai, 51, ditemui tidak sedarkan diri oleh rakannya yang juga pemandu kedua kira-kira pukul 7 malam di bahagian tempat duduk pemandu, yang bas itu diparkir berhampiran Stadium Shah Alam.

Beliau berkata rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada anggota polis yang bertugas di luar stadium.

"Pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang melakukan pemeriksaan ke atas Batumalai mengesahkan beliau telah meninggal dunia.

"Hasil bedah siasat yang selesai dilakukan lewat malam tadi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat sakit jantung," katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata pihak polis turut menghubungi keluarga pemandu itu di Pulau Pinang yang kemudian mengesahkan Batumalai memang menghidap sakit jantung.

"Bas berkenaan kemudian diambil alih oleh pemandu kedua untuk membawa penyokong pulang semula ke Kedah selepas perlawanan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata kawalan keselamatan yang ketat dan kerjasama baik penyokong kedua-dua pasukan menjadikan perlawanan itu tidak dicemari dengan kejadian di luar kawalan.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penyokong kedua-dua pasukan yang mengikut arahan yang diberikan," katanya.-- Bernama


Kedah, Stadium Shah Alam

Artikel Sebelum

27 Cedera Nahas Bas Terbalik

Artikel Berikut

Artikel Lain