suria

27 Cedera Nahas Bas Terbalik

KUALA LUMPUR: Seramai 27 penumpang termasuk pemandu cedera dalam insiden bas ekspres terbalik di Km 434.9 Lebuhraya PLUS, laluan menghala ke arah utara di Rawang, awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, bas berkenaan yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dipercayai terlanggar pembahagi jalan lalu terbabas sebelum terbalik dan memasuki laluan bertentangan.

"Kami segera mengerahkan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenainya," katanya ketika dihubungi Bernamadi sini, Ahad.

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superitendan Lim Bak Phai berkata siasatan awal mendapati empat penumpangmengalami cedera parah pada kepala manakala pemandu bas cedera pada bahagian muka.

"Jumlah sebenar penumpangbas yang sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Temerloh itu belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Bak Phai berkata, pihak polis akan melakukan ujian air kencing serta spesimen darah pemandu bas serta pembantunya bagi membantu siasatan.-- Bernama  


Rawang, Sani Harul

Artikel Sebelum

Feri 440 Tan Terangkat

Artikel Berikut

Artikel Lain