suria

Bapa Jutawan: Itu Tak Benar

Dari kiri: Nurul Amizah, Nurul Azirah, Nurul Azureen dan Nurul Amisah menjawab pertanyaan media semasa sidang media di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Anak kepada bekas jurujual kereta, Hamid Apdal yang ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kecewa dengan dakwaan bahawa bapa mereka seorang jutawan.

Anak sulung Hamid, Nurul Azirah berkata mereka terkejut apabila terbaca laporan berita yang menggambarkan bapa mereka sebagai jutawan.

"Itu tidak benar. Sama seperti keluarga lain, kami pernah hidup susah," kata Nurul Azirah pada sidang media di sini, Jumaat.

Gadis berusia 26 tahun itu berkata bapanya pernah menerima notis muflis pada 2014 dan tujuh tahun lalu, rumah mereka turut dilelong.

Hamid yang juga adik bongsu kepada Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan pada Selasa oleh SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kebajikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara tahun 2009 hingga 2015 untuk negeri Sabah.

Nurul Azirah berkata dia dan Nurul Amizah berkahwin dengan ahli keluarga mereka sendiri dan masih tinggal bersama ibu bapa mereka.

"Terdapat 15 individu tinggal dalam rumah teres itu. Ia bukan banglo besar sebagaimana yang disebut dalam laporan berita," katanya.

Nurul Azirah yang tidak dapat menahan sebak berkata bapanya tiada kaitan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan pernah bekerja sebagai jurujual kereta sebelum mereka dilahirkan.

Malah, katanya, pendapatan bapanya diperolehi menerusi bayaran Felda yang menggunakan tanah keluarga mereka untuk penanaman kelapa sawit di pantai timur Semporna.

Nurul Azirah berkata mereka bimbang mengenai keadaan kesihatan Hamid yang disifatkan sebagai seorang yang pemalu dan pendiam.

"Walaupun ada sesuatu yang tidak kena, dia bukan seseorang yang suka meluahkannya.

"Dia lebih suka bersabar dan tidak mahu menyusahkan orang lain," katanya yang merayu kepada SPRM supaya tidak melanjutkan perintah reman terhadap bapa mereka.

Nurul Azirah berkata kali terakhir mereka bertemu Hamid apabila pegawai SPRM membawanya ke rumah mereka pada Selasa lalu.

Terdapat kira-kira enam pegawai yang bertindak menggeledah almari, kabinet dan memecahkan dinding sebelum membawa bersama beberapa dokumen selepas sejam berada di rumah mereka.

Hamid, 52, menjadi individu ketujuh ditangkap bagi membantu siasatan kes  penyelewengan dana awam berjumlah RM1.5 bilion di Sabah.

Projek itu yang dilaksanakan dalam tempoh 2010 hingga 2016, dilaksanakan di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Projek berkenaan berkaitan pembangunan infrastruktur air, elektrik serta jalan raya yang membabitkan dana awam lebih RM7.5 bilion.

Hamid Apdal

Artikel Sebelum

TMJ Sambut Cahaya Mata Kedua

Artikel Berikut

Bot APMM Terbakar

Artikel Lain