suria

Makan Serendah RM3

KEADAAN ekonomi yang tidak menentu mendorong orang ramai memilih menu makanan bajet kerana ia jauh menjimatkan.

Dengan RM5, orang ramai kini boleh menikmati hidangan mengenyangkan seperti nasi goreng, chicken chop  dan char kuey teow udang di Restoran Nasi Talam Dangau yang terletak di Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, Kedah.

Bersebelahan Kedai Tayar Hankook, restoran itu diusahakan pesara kerajaan, Rabeah Yaacob, 61, yang lebih mesra dikenali Mak Teh selepas 36 tahun berkhidmat dalam bidang perguruan.

Restorannya terlebih dahulu menawarkan enam jenis nasi talam dengan pilihan makanan laut, kambing bakar dan asam pedas sebagai menu utama dengan harga RM35 hingga RM95. Bagaimanapun, dia memperkenalkan menu bajet atas permintaan ramai bagi meringankan beban mereka berpendapatan rendah.

“Lima menu bejet ditawarkan kepada pelanggan ialah nasi tiga beradik iaitu nasi goreng cina, nasi goreng dangau dan nasi goreng kampung yang dijual dengan harga serendah RM3 setiap satu hidangan.

“Selain itu, char kuey teow ditambah udang dan telur adalah masakan digoreng panas dengan harga RM4.50. Untuk makanan ala western, set chicken chop iaitu isi ayam goreng, sos, kentang goreng dan sayur mayonis dijual pada harga serendah RM4.50,” katanya.

Terbaru, restorannya memperkenalkan hidangan set masakan panas pada waktu tengah hari, iaitu set ikan pekasam, keli goreng, bawal goreng, ikan siakap goreng dan ayam goreng disertakan nasi, ulama-ulaman dan sos pencecah dari harga RM5 hingga RM9.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan, Rabeah bakal memperkenalkan konsep kad mengumpul mata yang memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati hidangan nasi talam percuma.

“Saya akan beri potongan sehingga 10 peratus kepada pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Restoran Nasi Talam Dangau dibuka setiap hari dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam. - Sinar Online

Restoran Nasi Talam Dangau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Suspek Kelima Ditahan

Artikel Lain