suria

Sukun Jadi Yogurt, Tepung

KUALA NERUS: Penyelidikan seorang pelajar berjaya menghasilkan yogurt dan tepung daripada buah sukun.

Penghasilan bahan makanan  tersebut dilakukan Siti Nuriah Mohd Noor, 24,  yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi kajiannya bertajuk Kanji Rintang Sukun.

“Saya memfokus kepada potensi fiber buah sukun yang saya ektrak menjadi tepung dan melalui tepung itu, saya hasilkan kanji sebelum saya hasilkan pula yogurt.

“Saya nampak kajian ini berpotensi tinggi untuk dikomersialkan sebab mungkin orang tidak nampak buah sukun  boleh diekstrak sesuatu daripadanya terutamanya dari segi fiber. Mungkin kajian secara lebih terperinci boleh dijalankan ke atas projek ini di masa hadapan,” katanya.

Dengan hasil kajiannya itu, beliau dianugerahkan pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2017, baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka projek saya boleh memenangi pingat emas,” katanya.

Mengenai khasiat tepung sukun, Siti Nuriah berkata tepung sukun boleh disimpan dalam tempoh yang lama dan ia mampu membantu pencernaan dalam usus.

“Nutrien fiber sukun merupakan makanan bakteria dalam perut. Saya juga hasilkan kanji rintang dalam sukun yang diektrak dari  serat untuk penghasilan yogurt yang boleh membantu menangani penyakit berkaitan usus,” ujarnya.

Beliau berkata 10 kilogram buah sukun mampu menghasilkan dua kilogram tepung dan daripada dua kilogram tepung itu, hanya 30 peratus daripadanya menghasilkan kanji.

Situ Nuriah berhasrat untuk berkolaborasi terutama dengan Mardi bagi menjalankan pembangunan kajiannya seterusnya.-- Bernama

sukun, UniSZA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pulanglah Nur Arina Aisyah

Artikel Lain