suria

Ada Duit Boleh Lari, Tak Ada Tunggu Mati - Pelarian Rohingya

MELAKA: “Ada duit boleh lari, tiada duit tunggu mati saja,” demikian kata Saidatul Rahman Norlok, 26, seorang pelarian Rohingya mengenai penderitan penduduk kampungnya di Arakan, Myanmar.

Dia berkata tanpa wang yang perlu dibayar untuk menampung perjalanan keluar mereka daripada wilayah bergolak itu, masyarakat Islam Rohingya terpaksa bertahan dengan segala seksaan dan hanya menunggu ajal.

Jelasnya, pembunuhan masyarakat Islam Rohingya berlaku setiap hari tanpa simpati atau sebab.

“Saya dapat lari dengan kapal dari Thaland tiga tahun lepas, kemudian saya kerja tukang kayu di Kuala Lumpur sebelum pindah ke Melaka tiga bulan lepas.Tetapi saya tinggal di sini seorang diri, keluarga saya semua lari ke Bangladesh.

"Tangisan berlaku setiap hari di mana-mana sahaja. Masing-masing cuba menyelamatkan diri dari diseksa atau dibunuh. Kanak-kanak dan wanita adalah mangsa utama," katanya.

Saidatul Rahman yang tinggal di Melaka Raya berkata selain pembunuhan, masyarakat kampungnya terpaksa menahan kelaparan kerana sukar mendapatkan makanan, malah ada kenalan serta jirannya mati kelaparan di jalanan.

Muhamad Ayub Abdul Kasim, 46, pula berkata setiap hari junta tentera akan menggangu mereka dan melakukan pelbagai penyiksaan fizikal hingga dia tidak dapat bekerja untuk mencari nafkah.

"Setiap hari tidak ada apa yang dapat saya lakukan. Kerja pun tidak dapat. Setiap hari saya berada dalam ketakutan. Lari sana, lari sini sama sahaja. Banyak mayat bergelimpangan. Bunyi tembakan kedengaran setiap hari. Isteri saya juga pernah dibawa tentera lebih seminggu, tidak tahu ke mana sebelum dia balik ke rumah," katanya yang kini tinggal di Bachang.

Katanya, golongan wanita diperlakukan sebagai hamba seks sehingga ada antara mereka melahirkan anak luar nikah sementara bayi serta kanak-kanak dibunuh tanpa belas kasihan.

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata dia terpaksa melarikan diri ke Malaysia pada 2002 manakala isteri dan tiga anaknya berjaya melarikan diri ke negara ini pada 2007.- Bernama

Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain