suria

Pemandu Honda CR-V Diburu

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal di Lebuhraya SPRINT pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata insiden itu berlaku kira-kira pukul 1.16 petang Sabtu.

"Kami menerima laporan polis daripada penunggang motosikal berusia 24 tahun yang mendakwa menjadi mangsa langgar lari kereta SUV terbabit," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohd Zani berkata pemandu itu tidak berhenti selepas insiden itu sebaliknya terus meninggalkan lokasi kejadian.

"Penunggang motosikal dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Dia hanya mengalami kecederaan ringan.

"Setakat ini pemandu Honda CRV terbabit masih belum tampil membuat laporan polis," katanya.

Dalam kejadian itu, penunggang motosikal itu dipercayai bergesel dengan SUV terbabit dan cedera.

Insiden itu berjaya dirakam oleh pemandu lain dan menjadi  viral di media sosial.

Pada masa sama, Mohd Zani menggesa pemandu SUV terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran WB 8679 C tampil segera untuk membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Honda CR-V, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain