suria

Masa Depan Asean Di Tangan Generasi Muda

KUALA LUMPUR: Semasa Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand membentuk Asean 50  tahun lepas,  mereka menyasarkan kestabilan politik yang lebih kukuh di rantau ini dan untuk separuh abad akan datang, usaha adalah mengenai keupayaan Asean memahat kehebatan ekonominya.

Dan cabaran terbesar bagi rantau ini ialah untuk melangkah ke hadapan memenuhi jangkaan keseluruhan generasi baharu, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sambil menyatakan hasrat generasi muda  Asean yang mahukan kehiduan lebih baik dan standard kehidupan lebih tinggi, beliau menegaskan bahawa mereka secara umumnya lebih berpelajaran, dan lebih berkemahiran dalam teknologi dan mereka yakin mendapat manfaat daripada keanggotaan negara dalam Asean

"Kita harus berusaha memastikan Asean boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan inklusif, pekerjaan yang lebih baik, peluang pendidikan lebih baik dan pelaburan dalam infrstruktur yang akan membawa kepada standard kehidupan lebih tinggi untuk generasi ini.

"Di sinilah terletaknya cabaran untuk memenuhi kepercayaan dan harapan bagi 50 tahun akan datang. sambil menangani keperluan ekonomi rakyat,  terutama golongan muda, yang merupakan asasa utama dalam membina kehebatan ekonomi Asean,” katanya dalam ucaptama pada Simposium Asean 5050 suatu unjuran sebuah komuniti pada masa depan di sini, Isnin.

Beliau berkata apapun jua keadaan yang berlaku dalam senario global pada masa depan, sama ada sekumpulan kuasa besar  yang lain atau set baharu pekerjaan, masa depan Asean akan sentiasa cerah jika generasi muda mempunyai perasaan kekitaan terhadap  perkumpulan berusia 50 tahun ini.

"Untuk melakukannya, kita perlu melibatkan mereka, kerana kita tidak akan tahu, apa yang mereka mahukan jika kita tidak bertanyakan mereka. Tetapi apa yang lebih penting ialah mereka tidak akan ambil  peduli tentang Asean jika tiada yang bertanyakan mereka mengenai matlamat bersama mereka untuk rantau ini.

"Dan jika mereka tidak peduli, kita akan menggunakan sepenuhnya aset terkuat Asean iaitu penduduknya, Pemimpin kita telah membawa Asean ke dalam satu perjalanan  hebat sejak 50 tahun lepas tetapi bagi 50 tahun akan datang yang akan merencanakannya ialah setiap warga muda Asean yang ada,” katanya.

Dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) sempena ulang tahun ke-50 Asean tahun ini, simposium ini bertujuan untuk mengkaji secara kritikal pencapaian Asean dan yang paling penting kesediaan untuk menjangkakan  cabaran bagi tempoh sederhana dan panjang.

Khairy juga berkongsi pengalaman Malaysia melibatkan generasi muda dalam siri perbincangan peringkat nasional ke arah membentuk Trasfomasi Nasional 2050 (TN50).

Menurut beliau, dua pelajaran penting yang didapatkannya daripada proses melibatkan belia  dalam proses TN50 ialah masa depan Malaysia banyak bergantung kepada anak muda negara dan mereka mengambil berat tentang masa depan Malaysia, jika mereka dilibatkan sama.

TN50 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 di  Dewan Rakyat pada 21 Okt 2016 dan diselaraskan oleh Kementerian Belia dan Sukan.-Bernama

TN50, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain