suria

Kes Jong-nam: Kang Chol Perlu Percayakan Malaysia - Anifah

PUTRAJAYA: Wisma Putra memberi amaran kepada Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol supaya meletakkan kepercayaan penuh kepada kerajaan Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata,   Kang Chol juga perlu memahami perasaan kerajaan Malaysia dan juga rakyat di negara ini berhubung perkara itu.

"Sebagai duta ke Malaysia, dia perlu menyedari dia perlu yakin dengan kerajaan Malaysia.

"Saya harap anda faham mengenai apa yang saya maksudkan tentang perkara itu," kata Anifah pada sidang media di Wisma Putra dekat sini, Jumaat.

Jelas beliau, sebagai negara yang bertanggungjawab, Malaysia sentiasa menjalankan asas tanggungjawab antarabangsa berdasarkan undang-undang antarabangsa dan amalan diplomatik.

"Duta itu (Kang Chol) telah dimaklumkan mengenai proses terlibat tetapi dia terus berkhayal dan menyebarkan fitnah dan dusta terhadap kerajaan kita," katanya.

Anifah menegaskan bahawa dasar luar Malaysia sentiasa berusaha mengekalkan hubungan baik antara negara-negara lain.

Namun, katanya, hubungan baik itu perlu dibalas dengan kebaikan.

Menurut Anifah, Wisma Putra tidak melihat sebarang keperluan untuk melayan kenyataan dan tuduhan Kang Chol terhadap kerajaan Malaysia memandangkan siasatan kes pembunuhan Jong-nam sedang dijalankan.

"Kita seharusnya membenarkan pihak polis mengenal pasti punca kematian dan mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Tegas beliau, seluruh dunia mengetahui siasatan itu dijalankan secara telus tanpa unsur berat sebelah.

Kang Chol baru-baru ini men­dakwa Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan bersekongkol dengan ‘kuasa-kuasa seterunya’ dalam penyiasatan kes pembunuhan Jong-nam.Pada 13 Februari lalu, Jong-nam mati selepas disembur sejenis cecair dipercayai racun oleh dua wanita masing-masing warga Vietnam dan Indonesia di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sebelum sempat menaiki penerbangan ke Macau.

Sidang media di Wisma Putra pada Khamis menjadi tumpuan media tempatan dan juga antarabangsa yang ingin mengetahui reaksi balas Kementerian Luar mengenai kenyataan biadap Kang Chol.

Pada sidang media itu, Anifah sekadar membaca kenyataan tanpa ada sesi soal jawab dengan wartawan.

Artikel Lain