suria

Geng Samun 'Hitam' Tumpas, Polis Tahan Lima Suspek

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan geng 'Hitam' yang dipercayai melakukan sekurang-kurangnya empat kes samun berikutan penahanan lima lelaki termasuk ketuanya dalam beberapa tangkapan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata berikutan laporan mengenai kes samun di sebuah perumahan di Kingfisher dekat sini baru-baru ini, polis telah melancarkan satu operasi dan menahan seorang lelaki di Kota Marudu, kira-kira 12 tengah malam Ahad lepas.

"Hasil siasatan terhadap suspek berkenaan, seorang lagi suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Putrajaya Telipok kira-kira 5 petang Isnin lepas. 

"Dalam serbuan itu, kita telah merampas dua telefon bimbit yang mana satu daripadanya adalah milik mangsa samun di Kingfisher. 

"Selang beberapa jam selepas tangkapan itu, kita telah menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Tuaran kira-kira pukul 7.30 malam," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata, dua lagi suspek termasuk ketua geng berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 pagi Rabu lepas di Kampung Likas. 

"Ketika ditahan kedua-dua suspek berkenaan berada di dalam sebuah kenderaan yang mencurigakan. Semasa dihampiri pasukan peronda, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Chandra berkata empat daripada suspek berusia 23 hingga 32 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau termasuk ketua geng berkenaan yang mempunyai lebih 30 rekod jenayah membabitkan samun dan dadah. 

"Empat daripada suspek itu juga didapati positif dadah dan tiga daripada suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini, manakala dua lagi suspek direman empat hari sehingga Selasa ini," katanya.

Geng Samun Hitam

Artikel Lain