suria

Polis Nafi Kes Tembak Kedua Di Lokasi Sama Wanita Ditembak

Zainol Samah.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menafikan dakwaan berlaku kes tembakan di tempat sama kejadian seorang ahli perniagaan wanita maut ditembak semasa memandu di Taman Pekaka 1, Gelugor di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zainol Samah berkata tiada sebarang kes tembak berlaku di negeri ini pada Khamis, seperti yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata sebaliknya kehadiran sepasukan polis di kawasan kejadian adalah bagi menjalankan siasatan kes membabitkan ahli perniagaan wanita berusia 49 tahun berkenaan.

"Kami perlu ke tempat kejadian untuk lengkapkan siasatan jadi jangan buat spekulasi," katanya.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, Ruby Lee Poh Ai, 49, yang memandu kereta jenis BMW seorang diri dihampiri dua lelaki menunggang motosikal yang melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

Ruby yang merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan itu ditembak dari cermin sisi pemandu dan daripada lebih 10 das tembakan itu enam das tembakan mengenai dadanya.

Dalam pada itu, Zainol berkata siasatan kes itu masih dijalankan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa.

Beliau turut meminta kerjasama pihak media terutama portal media agar tidak memutar belit fakta atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana ia akan menganggu siasatan.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

kes tembak, Pulau Pinang

Artikel Berikut

Artikel Lain