suria

SPRM Tahan Leftenan Kolonel Tentera Seleweng Projek Penyelenggaraan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) menahan pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel kerana menyalahgunakan kedudukan melibatkan projek penyelenggaraan hingga mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.

Suspek berusia 57 tahun itu bertugas di Unit Senggaraan Zon Timur, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) di Wisma Angkatan Tentera Malaysia, di ibu negara.

Pegawai kanan tentera itu ditahan di pejabat SPRM Temerloh, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes yang membabitkan dirinya.

Menurut sumber, suspek bertanggungjawab menyelia kontraktor, memantau proses kerja, mengesahkan spesifikasi piawaian dan memperakukan tuntutan kerja oleh kontraktor di Zon Timur.

"Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor proksi termasuk syarikat milik ayahnya yang mana isterinya adalah pengarah syarikat tersebut.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai menyerahkan projek-projek tersebut kepada syarikat lain untuk menjalankan kerja-kerja penyelengaraan itu," kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, daripada pembayaran yang dituntut, suspek dikatakan mengambil kira-kira lapan hingga 10 peratus sebelum menyerahkan wang selebihnya kepada syarikat luar yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.

"Tuntutan kerja projek-projek penyelenggaraan dan perkhidmatan yang dianugerahkan oleh BPKP pada 2015 dan 2016 tersebut telah disahkan dan diperakui sempurna oleh suspek," kata sumber itu lagi.

Difahamkan, setelah mendapat bayaran tuntutan-tuntutan kerja daripada Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan, syarikat-syarikat proksi dipercayai telah menyalurkan sejumlah wang kepada suspek menerusi akaun sekutu atau secara tunai.

Kata sumber itu, terdapat syarikat sekutu suspek yang mempunyai transaksi kemasukan melebihi RM1 juta dalam tempoh dua tahun sejak 2014 dan pengeluaran dalam jumlah mencurigakan secara tunai dan cek walaupun sekutu suspek hanya pesara tentera berpangkat rendah.

"Suspek dikatakan menggunakan modus operandi yang sama ke atas lebih 50 syarikat yang beroperasi di Pahang, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Sumber juga memberitahu, SPRM percaya perkara sebegini berlaku di setiap zon yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan setiap tahun.

“SPRM masih sedang meneliti banyak maklumat yang diterima berhubung kegiatan ini yang telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan percaya terdapat penglibatan pelbagai pihak termasuk pengurusan tertinggi,” katanya.

Difahamkan, siasatan awal mendapati semua tuntutan yang dibuat oleh suspek akan diluluskan di peringkat Ibu Pejabat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lagi berhubung siasatan kes ini.



Artikel Sebelum

Artikel Lain