suria

Suami Isteri Ditahan Miliki Ganja Bernilai RM180,000

Supritenden Jokhiri Abdul Aziz (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan yang mengandungi ganja di Ibu Pejabat Daerah Seri Alam pada 21 Februari 2017. - NABILA AHMAD / The Star

JOHOR BAHRU: Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas dadah jenis ganja bernilai RM180,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Pasir Gudang, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abd Aziz berkata penahanan dilakukan kira-kira 11 malam selepas polis melakukan intipan berdasarkan maklumat orang awam.

"Hasil pemeriksaan terhadap lelaki dan wanita berumur 41 tahun itu, polis menemui 72 ketulan mampat tumbuh-tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 73.6kg dalam bilik mereka," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Dadah yang dirampas itu boleh digunakan 36,831 penagih dan pasangan tersebut dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran di sekitar kawasan Seri Alam, pusat bandaraya Johor Bahru dan Kota Tinggi, katanya.

Jokhiri berkata polis turut merampas sebuah kereta Proton Inspira, sebuah Perodua Viva serta wang tunai RM1,500 daripada mereka.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mereka aktif mengedar dadah berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Katanya ujian air kencing turut mendapati lelaki tersebut positif syabu.

"Hasil siasatan mendapati pasangan itu mengedar dadah terbabit secara sendiri dan tidak terlibat dengan mana-mana sindiket. 

"Mereka kini direman seminggu mulai semalam hingga 27 Feb depan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Ganja

Artikel Sebelum

KPDNKK Rampas 998 Tong LPG Haram

Artikel Berikut

Artikel Lain