suria

Rasuah: Bekas KSU, Anak Didakwa

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan rasuah membabitkan dolar Singapura SGD$200,000 (RM627,636), tahun lepas.

Agensi berita Bernama melaporkan, Mohd Arif, 60, dan anaknya, Ahmad Zukhairi Mohd Arif, 35, yang memakai kot berwarna hitam dan bertali leher, mengaku tidak bersalah dan minta bicara selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mohd Arif didakwa bersuhabat dengan anak sulungnya itu untuk menerima suapan tersebut daripada pengarah syarikat, Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh berhubung projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sandakan, Sabah.

Perbuatan itu sebagai upah untuk mereka kerana memberi projek BELB Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan secara rundingan terus (reka dan bina) bernilai RM57.5 juta kepada syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd.

Mohd Arif didakwa melakukan kesalahan itu di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, di sini pada 4 petang hingga 7 petang, 23 Ogos tahun lepas.

Ahmad Zukhairi pula didakwa menerima suapan yang sama untuk dirinya dan bapanya bagi tujuan serupa pada tarikh, tempat dan masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Arif dilihat mengusap belakang badan anak lelakinya itu untuk menenangkannya ketika mereka berada dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding tersebut.

Hakim Azura membenarkan anak beranak itu, masing-masing diikat jamin RM200,000 berserta seorang penjamin dengan geran tanah sebagai cagaran.

Mahkamah juga memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Mac untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, A.S Thangavelu dari SPRM, menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan supaya mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ahmad Zukhairi akan didakwa atas tiga pertuduhan serupa di Mahkamah Shah Alam, petang Selasa.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mewakili anak beranak itu, memohon jaminan RM100,000 bagi kedua-dua tertuduh atas alasan harta dan wang tunai milik mereka telah disita oleh SPRM.

Katanya, tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri berikutan pasport mereka akan diserahkan kepada mahkamah dan mereka juga telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan.

KKLW, Mohd Arif Ab Rahman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain