suria

Geng Curi Tabung Masjid Dicekup

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai geng curi tabung masjid yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dalam serbuan di Bukit Mertajam di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata hasil risikan dan intipan, sepasukan polis berjaya mengesan dua remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun itu sebelum menahan mereka kira-kira pukul 5.30 petang.

"Pada 31 Januari lepas, kami menerima satu laporan polis daripada jawatankuasa Masjid Haji Saad di Jalan Tanah Liat, di sini berhubung kehilangan satu tabung yang diletakkan dalam kawasan masjid berkenaan.

"Berdasarkan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup yang terdapat dalam masjid itu, polis berjaya mengesan kelibat dua lelaki yang melakukan kegiatan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Katanya hasil siasatan, polis menahan kedua-dua remaja itu yang sedang menaiki sebuah motosikal dan semakan awal mendapati kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu berkenaan dipercayai dicuri.

Nik Ros Azhan berkata mereka juga mengaku terlibat dalam kes curi tabung di Masjid Haji Saad berkenaan dan mengambil wang sebanyak RM26 yang terdapat di dalam tabung tersebut.

"Tabung aluminium yang dicuri itu telah dibuang di kawasan sawah di Jalan Permatang Nibong dan kami juga telah menemui semula tabung berkenaan," katanya.

Menurut Nik Ros Azhan, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan dua remaja yang tidak bekerja itu terlibat dalam beberapa lagi kes curi tabung masjid serta surau di daerah SPT dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata selain terlibat kes curi tabung, mereka juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun dan curi motosikal di sekitar negeri ini.

"Seorang daripada mereka positif dadah dan kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Tabung Masjid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain