suria

Peluang 'Dekati' Sultan Kedah Sehingga Hujung Tahun

Sebahagian daripada koleksi kereta antik milik Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah boleh dilihat di tapak pameran pada Majlis Perasmian Pameran Potret DiRaja Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bertemakan 'Images of Majesty' di Galeri Sultan Abdul Halim pada 4 Februari 2017. - BERNAMA

ALOR SETAR: Galeri Sultan Abdul Halim di Medan Bandar, di sini dibuka secara percuma kepada orang ramai sempena Pameran Potret Diraja Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah 'Images Of Majesty', bermula Sabtu hingga 31 Disember depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata sebanyak 100 keping potret yang menampilkan perjalanan kehidupan Sultan Abdul Halim dari awal remaja hingga dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

Katanya, pameran Potret Diraja ini adalah cetusan idea anakanda baginda Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz bagi memastikan sejarah itu sentiasa terpahat di dalam hati rakyat Kedah.

Bakar berkata, terdapat beberapan pecahan segmen dalam pameran itu antaranya potret semasa baginda di zaman muda, zaman persekolahan, menjadi Raja Muda Kedah, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-5 dan ke-14. 

"Selain itu, terdapat juga potret kerabat-kerabat diraja, hobi serta sukan kegemaran baginda serta tugas-tugas rasmi dan tidak rasmi baginda sebelum ini.

"Potret ini juga sebagai simbolik merakamkan kenangan sejarah kegemilangan pemerintahan seorang raja berdaulat dan berjiwa rakyat," katanya pada Majlis Perasmian Pameran Potret Diraja Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah 'Images Of Majesty' di sini, pada Sabtu.

Turut berangkat, Sultanah Kedah Tuanku Hajah Haminah, Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Bendahara Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bakar berkata melalui pameran itu, rakyat Kedah terutamanya berpeluang mengenali lebih dekat pemerintah tertinggi negeri melalui potret-potret Sultan Abdul Halim daripada usia remaja sehingga kini di mana baginda meraikan hari keputeraan ke-89 tahun ini.

"Selain itu, ia juga bakal menjadi satu daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke Kedah," katanya.

Terdahulu, Sultan Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah meluangkan masa lebih 45 minit melawat galeri terbabit.

Galeri Sultan Abdul Halim dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Geng Curi Tabung Masjid Dicekup

Artikel Lain