suria

Amanah Patut Gabung Dengan DAP - PAS

Iskandar Abdul Samad.

PETALING JAYA: PAS menolak dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa "blok ketiga pembangkang" merupakan proksi Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tuduhan itu seperti dakwaan Amanah yang lain, adalah silap kerana dua blok pembangkang sebenarnya meningkatkan tentangan terhadap BN.

Dilaporkan, PAS disifatkan sebagai parti yang merupakan "blok ketiga pembangkang" apabila ia bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pada Mac 2016 susulan persengketaan dengan DAP yang akhirnya menyaksikan Pakatan Rakyat berkubur.

"Dengan dua blok pembangkang, mungkin lebih banyak penyelewengan Barisan akan didedahkan. Jadi ini tidak mungkin memperkuatkan Barisan, malah akan melemahkan lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, PAS tidak seharusnya dipersalahkan dalam pertembungan tiga penjuru yang bakal berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Iskandar berkata, adalah tidak adil untuk menunding jari kepada PAS sekiranya pertembungan tiga penjurut berlaku yang disebabkan oleh Pakatan Harapan memasuki kawasan yang dimenangi PAS, atau yang dipertandingkan oleh PAS pada pilihan raya umum lalu.

"Tidak masuk akal untuk PAS dipersalahkan apabila parti-parti lain menganggu kerusi PAS. Jika parti lain tidak lagi mahu menerima pertembungan dua penjuru, mengapa PAS perlu menghormatinya," soal Iskandar.

Sehubungan itu, Iskandar menasihatkan pemimpin Amanah supaya berhenti menyerang PAS, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri.

Iskandar mencadangkan Amanah bergabung dengan DAP kerana kedua-duanya kelihatan "lebih rapat".

"Jika ini berlaku, pemimpin Amanah boleh diperuntukkan kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah," katanya.

Dilaporkan, PAS telah menjelaskan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan DAP mahupun parti serpihannya, Amanah, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

PAS, DAP, Amanah, Iskandar Abdul Samad

Artikel Lain