suria

Sembilan Mayat Ditemui Dalam Kejadian Bot Karam Di Mersing

Sembilan mayat warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita ditemui terdampar di pantai dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Rhu. Foto Bernama

MERSING: Sembilan warga asing ditemui mati lemas, manakala dua terselamat, dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Rhu di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata, sembilan mayat yang terdiri daripada tiga lelaki dan enam wanita itu dijumpai terdampar di pantai berhampiran. 

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi, bot berkenaan dipercayai dinaiki 40 orang dari Batam, Indonesia untuk masuk ke negara ini sebelum karam akibat dipukul ombak kuat.

Katanya, dua mangsa pula ditemui selamat terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 28 dan 20 tahun.

"Kami percaya ada lagi yang terselamat dan telah melarikan diri," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, mangsa yang terselamat dihantar ke Klinik Kesihatan Tenggaroh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya anggota polis, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tragedi berkenaan. - Bernama

Artikel Sebelum

Bom Palsu Ditemui

Artikel Lain