suria

Tiada Jaminan Status Tetap Dalam Perkhidmatan Awam Untuk Graduan Perubatan

Datuk Seri Dr Chen Chaw Min
PETALING JAYA: Status pekerja tetap untuk doktor, ahli farmasi dan doktor gigi dalam perkhidmatan awam tidak lagi terjamin.

Kerajaan telah mula mengeluarkan tawaran pekerjaan secara kontrak kepada mereka sejak bulan lepas seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Menurut Kementerian Kesihatan, jika doktor berjaya menamatkan tugas sebagai doktor pelatih dalam tempoh kontrak tiga tahun, mereka mempunyai satu lagi kontrak perkhidmatan wajib selama dua tahun.

Ahli farmasi pula akan digaji sebagai ahli farmasi berdaftar provisional (PRP) untuk satu tahun, dengan tawaran kontrak maksimum selama dua tahun.

Tiada latihan wajib untuk doktor gigi dan perkhidmatan wajib bagi mereka adalah selama satu tahun, dengan tawaran kontrak maksimum tiga tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata sejak bulan lepas, 1,219 calon telah ditawarkan pekerjaan secara kontrak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

"Pelantikan tetap akan berdasarkan merit mereka semasa latihan  'housemanship' dan syor oleh Ketua Pengarah Kesihatan," katanya dalam satu e-mel kepada The Star.

Langkah itu, katanya, dijangka dapat mengurangkan masa menunggu untuk latihan dan perkhidmatan wajib.

Dr Chen berkata kakitangan kompeten yang memenuhi keperluan khusus akan mendapat jawatan tetap, tetapi ia mungkin tidak ditawarkan dengan segera sehingga terdapat kekosongan.

Gaji mereka akan mengikut tarikh ke belakang (back dated) mengikut tarikh pelantikan apabila terdapat kekosongan jawatan.

Beliau berkata bagi pemegang biassiswa kerajaan yang belum ditawarkan jawatan tetap di kementerian itu walaupun telah selesai perkhidmatan wajib, mereka boleh mencari pekerjaan di hospital universiti dan hospital tentera serta sektor swasta.

Beliau berkata bagi tahun ini, kementerian merancang untuk mengambil seramai 9,300 calon untuk enam kelompok pengambilan melibatkan 5,425 calon doktor pelatih, tiga kelompok (1,921) pegawai pergigian dan empat kelompok (1,954) ahli farmasi.

Beliau berkata doktor pelatih akan menikmati faedah yang sama diterima oleh doktor tetap seperti yang ditetapkan dalam pekeliling 2008.

Mereka di bawah 'kontrak diubahsuai' ini akan mempunyai bayaran penuh cuti sakit sehingga 90 hari, dan lanjutan rawatan perubatan bagi ibu bapa di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan, katanya.

Tetapi hanya mereka yang dilantik sebagai pegawai perubatan tetap dan telah mendapat pengesahan dalam perkhidmatan yang layak untuk memohon pinjaman perumahan kerajaan, katanya.

Gaji asas bulanan doktor pelatih adalah yang sama seperti kategori perkhidmatan tetap gred UD41 iaitu RM2,947, manakala doktor gigi (gred UG41) mendapat RM2,844 dan RM2,740 (UF41) untuk ahli farmasi.

Apabila dicampur elaun lain , mereka dianggar mendapat gaji RM4,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain