suria

Malaysia Sedia Hadapi Kemungkinan Pembatalan TPPA

Datuk Seri Ong Ka Chuan
IPOH: Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak diteruskan berikutan kenyataan bakal Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan menarik keluar negara itu daripada TPPA.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan membayangkan negara ini mungkin menerima kesan negatif jika inisiatif itu tidak dilaksanakan kerana kajian mendapati TPPA membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta perolehan dan peluang pekerjaan.

Menurutnya, TPPA akan gagal tanpa penyertaan AS memandangkan Washington adalah ekonomi terbesar dunia yang menguasai 40 peratus ekonomi global.

"Kalau AS tidak meneruskan TPPA ini, saya rasa dia (Donald) juga akan menghadapi masalah kerana dia tidak sedar ini adalah satu trend yang mana 420 daripada 620 perjanjian perdagangan bebas telah dimuktamadkan.

"Jika AS memilih untuk menutup pintu bermakna barangan dia tak boleh dieskport dan barangan dari negara lain pun tidak boleh masuk dan ini akan menjejaskan ekonomi dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini, Ahad.

Beliau mengambil contoh cukai import barangan elektrik dan elektronik yang dikenakan kepada Malaysia untuk memasuki pasaran AS kini adalah purata lima peratus namun dengan TPPA, duti ke atas produk berkenaan akan dimansuhkan.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan sebagai sebahagian besar daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.

Pakatan yang melibatkan 12 negara, iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Malaysia, memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Oktober 2015 dan menandatangani perjanjian itu di Auckland pada 4 Februari 2016.

TPPA yang dikatakan sebagai pakatan perdagangan terbesar, paling menyeluruh dalam sejarah dan dianggap sebagai perjanjian perdagangan utama, menetapkan standard yang tinggi dalam perjanjian pelbagai hala.

Artikel Sebelum

Buaya 3.2m Berjaya Ditangkap

Artikel Lain