Wanita Ditahan Reman Bukan Ibu Kandung Muhammad Adam - Semasa | mStar

Wanita Ditahan Reman Bukan Ibu Kandung Muhammad Adam

Beginilah keadaan rumah di mana Muhammad Adam ditinggalkan bersendirian oleh seorang wanita dan dijumpai polis dalam keadaan lapar dan menangis. -fotoBERNAMA
SEREMBAN: Wanita ditahan reman yang dipercayai ibu kepada Muhammad Adam, kanak-kanak lelaki tiga tahun yang ditemui bersendirian di sebuah rumah di Gemencheh, Tampin, Jumaat lepas, didapati bukan ibu kandung kanak-kanak malang itu.


Ketua Polis Daerah Tampin Supt Hamazah Ab Razak berkata penemuan berkenaan diperoleh hasil soal siasat pihak polis terhadap wanita berusia 36 tahun itu.

Menurutnya, penemuan terbaharu hasil siasatan itu juga menunjukkan wanita itu berkemungkinan mengambil upah menjaga kanak-kanak berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa Muhammad Adam bukanlah anaknya sebaliknya anak rakannya. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan perkara itu dan wanita terbabit masih ditahan reman sehingga esok.

"Setakat ini, kita belum kenal pasti identiti ibu kandung mangsa. Kita perlu memanggil beberapa saksi untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Hamazah berkata polis mungkin akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas berjaya mengesan ibu kandung Muhammad Adam.

"Setakat ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membuat penilaian dari segi kelayakan untuk menjaga kanak-kanak itu berikutan sebelum ini bapa wanita berkenaan menawarkan diri untuk menjaganya," katanya.

Muhammad Adam ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan, dekat Tampin kira-kira 1 pagi Jumaat lepas, dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.

Dia dipercayai ditinggalkan seorang diri oleh ibunya sejak 6 petang, Khamis lalu sebelum ditemui sehari kemudian apabila sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut.

Tindakan itu susulan laporan polis yang diterima daripada ketua kampung pada 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak sedang menangis di dalam sebuah rumah yang berkeadaan gelap dan berkunci.

Susulan itu, seorang wanita yang dikatakan ibu Muhammad Adam ditahan reman untuk membantu siasatan manakala Muhammad Adam masih dirawat di Hospital Tampin.


Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain