suria

Kehidupan Umpama Selebriti Selepas Faiz Tercalon Anugerah Puskas - Isteri

Calon Anugerah Puskas Mohd Faiz Subri bersama isteri Nur Zawanis Hashim, 29 dan dua anaknya, Akief Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, 7 bulan memasuki kawasan perlepasan Antarabangsa KLIA, Ahad.
 Mohd Faiz akan ke Switzerland bagi menghadiri majlis anugerah tersebut.
 -fotoBERNAMA

SEPANG: Kejayaan Mohd Faiz Subri tercalon antara tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas Fifa 2016 telah mengubah wajah kehidupan keluarga pemain Pulau Pinang itu ibarat seorang selebriti.

Isterinya, Norzawanis Hashim, 29, mengakui mereka mula mendapat lebih banyak perhatian dengan peminat bola sepak tempatan tidak melepaskan peluang bergambar kenangan atau swafoto apabila terserempak dengan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu.

"Kehidupan kami memang agak berubah kerana ramai orang mula bagi perhatian lebih selain menerima banyak panggilan telefon. Saya juga berdebar-debar dan teruja menemani suami ke Zurich.

"Memang harap menang, tapi kalau tak menangpun tak apa," katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas bersama Mohd Faiz ke Zurich, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, Ahad.

Pemenang anugerah itu akan diumumkan pada majlis Anugerah Fifa 2016 pada awal pagi Selasa waktu Malaysia.

Pasangan itu turut membawa dua anak mereka, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan, lapan bulan.

Norzawanis berkata beliau telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselesaan kedua-dua anaknya kerana musim sejuk di Eropah sekarang.

Jaringan 'ajaib' Mohd Faiz yang mendapat perhatian dunia itu dilakukan ketika meraih kemenangan 4-1 ke atas Pahang pada Februari lepas, merupakan antara tiga gol yang disenarai akhir untuk Anugerah Puskas 2016.

Dua lagi calon bagi anugerah gol paling cantik sepanjang tahun lalu ialah Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Peminat bola sepak masih boleh mengundi sehingga 1 pagi Selasa waktu Malaysia melalui laman web rasmi Fifa, www.fifa.com.

Artikel Lain