suria

Nahas Di Pagoh: Bas Tak Diwajibkan Pasang Alat Pengehad Kelajuan -Liow

KUALA LUMPUR: Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pagoh, Johor tidak mempunyai alat pengehad kelajuan (SLD) kerana ia dibuat dan didaftarkan pada 2013, sebelum pemasangan alat itu diwajibkan bagi bas yang dibuat selepas Januari 2015, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. 

"Kementerian Pengangkutan mewajibkan semua bas model baharu yang dibuat mulai Januari 2015 dipasang dengan SLD, sejajar dengan Peraturan Bangsa Bersatu 89," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam kemalangan pada kira-kira 3.30 pagi Sabtu itu, bas ekspres berkenaan menjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter dan merempuh tembok konkrit sebuah terowong di Kampung Jayor di Km137.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), mengakibatkan 14  orang maut, termasuk pemandu dan anak perempuannya, serta mencederakan 16 penumpang lain.

Liow berkata kementerian itu, melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat, akan menjalankan audit menyeluruh mengenai keseluruhan rantaian reka bentuk dan pembinaan serta prosedur kelulusan dan pemeriksaan kenderaan perkhidmatan awam.

"Audit ini akan meliputi penyenggaraan jalan raya oleh agensi berkenaan. Audit baharu akan dilakukan dan disediakan laporannya pada suku pertama 2017,"katanya.

Liow bekata kementerian itu juga dalam proses menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia seperti yang disyorkan Panel Penasihat untuk melaksanakan fungsi penyiasatan secara bebas dan telus mengenai kejadian keselamatan utama, menjalankan penyelidikan untuk mengemukakan syor bagi meningkatkan keselamatan dan memantau serta menilai inisiatif keselamatan semua kaedah pengangkutan.

"Saya telah mengarahkan kementerian saya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) supaya memantau pelaksanaan semua syor yang digariskan oleh panel itu," katanya.

Beliau berkata agensi berkaitan di bawah bidang kuasa kementerian itu juga diarahkan supaya melaporkan tentang status dan kemajuan pelaksanaan syor berkenaan.

"Kementerian ini akan mengumumkan tentang status laporan mengenai pelaksanaannya melalui laman sesawang rasmi agensi berkaitan, dari semasa kesemasa," katanya.

Panel Penasihat itu ditubuhkan untuk menilai dan menyemak laporan mengenai siasatan selepas kejadian nahas bas Genting Highlands–Kuala Lumpur pada 2013 dan panel berkenaan mengemukakan laporannya berserta 51 syor kepada kementerian itupada Januari 2014.

Daripada jumlah itu, 22 langkah yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan telah dilaksanakan, termasuk kewajipan memasang SLD.

Langkah selebihnya dilaksanakan 16 agensi dan pihak berkepentingan lain yang berkenaan, katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain